Orang-orang suku Kampar (Kampau) berasal dari lima (5) kota utama yang merupakan penempatan utama di tepi Sungai Kampar di Kabupaten (daerah) Kampar di Riau, Sumatera iaitu:
i. Kuok (pekan sehari: Selasa) ii. Salo (pekan sehari: Isnin) iii. Bangkinang (pekan sehari: Ahad dan Rabu) iv. Air Tiris (pekan sehari: Sabtu) v. Rumbio (pekan sehari: Khamis)
Setiap kota terdiri daripada empat (4) suku utama iaitu:
i. Domo Bagindo Bosau ii. Tok Said iii. Piliang iv. Melayu
Setiap suku mempunyai seorang ketua. Oleh yang demikian setiap kota akan memiliki 4 orang ketua suku yang akan menghadiri pertemuan ketua-ketua suku di kota Bangkinang. Ketua suku yang mempunyai bilangan anak buah yang teramai akan dipilih sebagai ketua suku sesebuah kota. Setiap perhimpunan ketua-ketua suku di Bangkinang akan dihadiri oleh 20 orang ketua suku (4 X 5). Seorang ketua suku sesebuah kota yang mewakili anak buah yang paling ramai akan menjadi ketua suku orang Kampar.
Orang Kampar datang ke Semenanjung Tanah Melayu melalui jalan laut Selat Melaka. Setelah itu mereka menggunakan jalan sungai dan darat. Seterusnya mereka membuat penempatan baru di kawasan sekitar sepanjang Sungai Pahang. Penempatan baru orang-orang Kampar bermula dari Pekan – Chenor – Temerloh – Jerantut. Selain itu mereka juga tersebar ke Kuantan – Mentakab – Kerdau - Kuala Krau dan Kuala Lipis.
Orang-orang Kampar yang mendarat di pantai barat Semenanjung membuat penempatan baru di Selangor (terutamanya di Batang Kali dan Kajang), di Perak (terutamanya di Batu Gajah, Kampar dan Parit Buntar).
Pekerjaan utama orang-orang Kampar ialah berdagang. Mereka menguasai bidang-bidang peniagaan kecil seperti perniagaan kain di pekan-pekan sehari terutamanya di daerah Pahang Selatan. Di bandar Temerloh, para peniaga orang Kampar mendiami rumah kedai di Jalan Abu Bakar (bangunan pink) dan deretan kedai yang di kenali sebagai Kedai Lintang (kerana kedudukannya melintang di hujung dua blok rumah kedai Jalan Abu Bakar. Sudirman Hj Arshad seorang penghibur Nombor 1 Malaysia pada satu masa dulu ialah seorang anak Kampar kelahiran Temerloh yang paling terkenal di Pahang. U-Wei Hj Saari, seorang pengarah filem terkenal Malaysia ialah anak Kampar kelahiran Mentakab.
Kini anak-anak keturunan Kampar sudah tersebar di merata ceruk-rantau Malaysia dan hidup membaur dengan keturunan suku-suku yang lain. Sebahagian daripada masih mewarisi bahasa dan budaya Kampar manakala sebahagian lagi sudah terputus hubungan dengan asal usul mereka.