
Panorama semula jadi tarik pelancong ke Yan
Oleh Sabaruddin Abd Ghani

DERUAN air terjun Taman Rekreasi Titi Hayun
sentiasa menyegarkan pengunjung yang melarikan
diri daripada kesibukan kota.Taman Rekreasi Titi Hayun, Batu Hampar, Air Terjun Seri Perigi, Pantai Murni sedia menunggu tetamuSELAIN sawah padi yang mendominasi keindahan daerah Yan, Kedah, ada beberapa destinasi menarik di daerah itu yang keindahan alam semula jadinya belum tercemar.
Taman Rekreasi Titi Hayun, Kawasan Perkelahan Batu Hampar, Gunung Jerai, Air Terjun Seri Perigi, Pantai Murni dan Tanjung Jaga yang pemandangannya tidak menjemukan sedia menunggu tetamu pada bila-bila masa.
Ketika memandu, lebih baik meminimumkan kelajuan kerana cara demikian anda akan dapat menikmati keindahan persekitaran mengasyikkan yang aroma kedamaian terasa menusuk jiwa.
Betapa tidak, lukisan alam dengan jajaran Gunung Jerai yang sentiasa `lemas' diusap kabus, hamparan sawah padi di kiri kanan jalan, kanak-kanak berkejaran di batasan sawah serta liukan pohon kelapa mendamaikan jiwa.
Biarpun projek pembangunan rancak dilaksanakan di pekan Yan, namun persekitaran tetap di pelihara serta dijaga bagi mengekalkan keindahan alam semula jadi agar tidak tercemar.
Berikutan usaha itu, pekan Yan diiktiraf sebagai `Destinasi Pelancongan Bersih' oleh kerajaan negeri. Pada masa sama, Majlis Daerah Yan (MDY) merangka pelan pembangunan pelancongan lebih mantap.

JAMBATAN Pulau Bunting menghubungkan Yan dengan pulau.Pegawai Eksekutif MDY, Zulkifli Yaacub, 36, berkata pihak berkuasa majlis tempatan itu sentiasa menyusun strategi bagi menjana pembangunan sektor pelancongan yang turut membangun produk pelancongan seperti industri kraftangan dan masakan tradisional.
Sambil mengambil contoh kawasan perkelahan Taman Rekreasi Titi Hayun, Zulkifli berkata, pelaksanaan kemudahan insfrastruktur di situ seperti chalet, pusat informasi pelancongan, tapak perkhemahan, jambatan gantung dan taman permainan kanak-kanak tidak menjejaskan persekitarannya.
"Kita akan terus berusaha membangunkan daerah ini menjadi destinasi pelancongan bersih supaya dapat menarik ramai pelancong terutama pelancong asing. Justeru, MDY mengambil inisiatif memperkenalkan perusahaan nira nipah, kuih tradisional Kedah dan masakan itik nala (seakan-akan itik serati) yang disediakan pengusaha restoran di pekan ini.
"Jika ingin mengambil angin laut, empat pulau iaitu Pulau Songsong, Pulau Bidan, Pulau Telor dan Pulau Bunting sesuai untuk memancing dan aktiviti perkhemahan," katanya.
Jambatan 2.29 kmKINI, Pulau Bunting boleh dihubungi apabila sebuah jambatan sepanjang kira-kira 2.29 kilometer dibina untuk `mendekatkan' pulau itu dengan tanah daratan. Bagaimanapun, jambatan itu belum dibuka kepada orang ramai dan ini membuatkan pelancong kecewa kerana tidak dapat melawat pulau berkenaan.
Walaupun pembinaannya siap pada Oktober tahun lalu, syarikat yang membina jambatan itu belum bercadang memberi `lampu hijau' untuk digunakan orang ramai.
Untuk bermalam? Pada masa ini, chalet di Pusat Rekreasi Titi Hayun belum mempunyai kemudahan elektrik. Bagaimanapun, jika datang berkumpulan, MDY akan mencadangkan supaya menginap di rumah penduduk Kampung Raga yang menawarkan penginapan berkonsepkan Homestay.
Tentu seronok menginap di sini. Bayarannya pun tidak mahal dan lebih menarik, anda berpeluang berkongsi pengalaman dengan penduduk untuk menyingkap pelbagai kisah mitos di daerah itu.
Sekilas mengenai latar belakang daerah ini, ia mencakupi keluasan kira-kira 246.07 kilometer persegi bersempadankan daerah Kota Setar di sebelah utara, daerah Pendang di sebelah timur dan daerah Kuala Muda di sebelah selatan.

UDARA segar Seri Perigi mendamaikan jiwa pengunjung.Tapak kaki burung gergasiBangunan Pejabat MDY yang menjadi nadi pentadbiran daerah itu dibina di kawasan pekan Yan berhampiran Pejabat Pos Malaysia dan stesen bas.
Kunjungan anda bagaikan tidak lengkap jika tidak `menjamah' kedamaian Tanjung Jaga, Pantai Murni dan paling istimewa Gunung Jerai yang menjanjikan pakej percutian mesra alam.
Berdasarkan cerita penduduk, terdapat bekas kesan tapak kaki seekor burung gergasi (mereka mendakwa burung itu ialah Geroda) pada batu di suatu tempat di kawasan Tanjung Jaga.
Manakala Gunung Jerai pula, gunung yang tertinggi di Kedah itu sedia menanti tetamu untuk menginap di sana. Selain sesuai berbulan madu, kunjungan anda dinantikan untuk aktiviti lasak seperti merentas hutan dan mendaki. Penginapan chalet disediakan dengan bayaran berpatutan.
Keterangan lanjut boleh melayari laman web iaitu www.mdy.gov.my atau hubungi MDY menerusi talian 04-4655745
FAKTADaerah Yan di bahagikan kepada dua iaitu Yan Besar dan Yan Kecil. Mengikut sejarah, nama singkatan daerah ini diambil sempena nama pokok Sendayan dan durian. Gunung Jerai yang dikatakan mempunyai pelbagai kisah legenda menganjur ke laut hingga di Tanjung Jaga.
Daerah ini pernah diterokai pendatang dari Aceh, Sumatera. Buktinya, Kampung Aceh dan Kampung Sungai Limau majoriti penduduknya adalah keturunan Aceh.
Daerah ini dibuka secara rasmi pada 1904. Pada masa itu, daerah itu di bawah pentadbiran seorang bangsawan dikenali Syed Othman al-Qadri.